RANAU: Sejumlah 12 keluarga di Kampung Lembah Permai dinasihatkan berpindah ke kawasan yang lebih selamat selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh baru-baru ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dalam tempoh sama penduduk tinggal berhampiran lokasi terjejas dingatkan agar peka sekali gus memberikan kerjasama sekiranya diarahkan untuk berpindah secepat mungkin.
Katanya, Kundasang merupakan kawasan tanah tinggi dikenalpasti berpotensi dengan kejadian tanah runtuh selain sentiasa berlaku pergerakan tanah.
“Kejadian aliran air tersebut adalah dicetuskan oleh hujan lebat terhadap cerun yang mempunyai lapisan tanah dengan batuan retak.
“Lapisan ini sentiasa mengalami pergerakan tanah membekalkan serpihan batuan bersama tanah ke dalam saliran cerun bermula daripada tanah runtuh tebing saliran atau sedimen mudah terangkut yang masih berada di bahagian atas cerun,” katanya di sini hari ini.
Joachim berkata, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk bersiap siaga dan berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa serta ahli Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang menjalankan pemantauan.