KOTA KINABALU: Keunikan masyarakat berbilang kaum, etnik dan budaya di Sabah perlu terus dipelihara dan dipertahankan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, foktor itu menjadi elemen penting dalam memupuk perasaan hormat- menghormati sebagai satu kekuatan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kita yang menjadi identiti sesuatu bangsa dan etnik yang harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua.
“Kemajuan tidak seharusnya menghalang rakyat daripada menghargai dan memperkukuh budaya yang diamal oleh masyarakat berbilang kaum, termasuk aspek tarian kebudayaan.
“Banyak perkara yang baik boleh dipelajari daripada kebudayaan seperti perpaduan, kelestarian gaya hidup, perlindungan sumber asli dan pemuliharaan budaya peribumi,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Hajiji berkata, Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan, demi meningkatkan perpaduan di Sabah.
“Selain memiliki sumber ekonomi negeri melalui industri pelancongan, industri seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana yang berasaskan komuniti,” katanya.