BELURAN : Lebih 200 penduduk Kampung Koiboton, Sugut di sini telah mendapat manfaat menerusi perkhidmatan kesihatan pergigian yang ditawarkan secara percuma di kampung itu, baru-baru ini.
Perkhidmatan itu disediakan hasil kolaborasi Kelab Rotary Utara Sandakan bersama Wilmar Plantation Sdn Bhd dan Jabatan Pergigian Sandakan yang bertujuan mempromosi kebersihan dan kesihatan mulut dalam kalangan penduduk selain menawarkan rawatan dan pemeriksaan pergigian.

Menerusi program itu, penduduk dewasa dan kanak-kanak telah diberi rawatan dan pemeriksaan pergigian secara komprehensif daripada pakar pergigian termasuk mencabut gigi yang reput dan rosak.
Acara kemuncak program adalah sesi interaksi bersama kanak-kanak yang mana pakar pergigian telah memberi demonstrasi mengenai teknik memberus gigi yang betul selain mengedarkan berus gigi kepada mereka.
Program itu turut mendapat penyertaan interaksi dari Sekolah Menengah Yu Yuan, yang bergabung bersama Kelab Rotary untuk membuat perubahan dalam kehidupan penduduk kampung.

Penglibatan awal dalam kerja sosial sukarela itu bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang unik, tetapi juga memupuk rasa empati dan khidmat masyarakat dalam kalangan pelajar.
Susulan kejayaan program itu, Kelab Rotary Utara Sandakan, Wilmar Sapi Plantation Sdn Bhd dan Jabatan Pergigian Sandakan komited untuk meneruskan usaha mempromosi kebersihan dan kesihatan mulut dalam komuniti.
Mereka juga sedia mengadakan lebih banyak program di masa akan datang yang mampu memberi manfaat kepada penduduk Sandakan dan kawasan sekitar.