SESB perlu sokongan kerajaan bina jana kuasa 700MW dengan kerjasama China

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merancang untuk membina janakuasa berkapasiti 700 megawatt (MW) sebagai langkah penyelesaian masalah catuan bekalan elektrik di Sabah secara tuntas.

Pengerusi SESB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, untuk tujuan itu SESB sangat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan pusat dan kerajaan Sabah.

“SESB bercadang untuk membina penjana kuasa Combine Cycle Gas Turbine (CCGT) yang dimiliki sepenuhnya oleh SESB dengan bantuan kewangan melalui belt and road initiative dengan kerjasama negara China.

“Berhubung perkara ini, saya memohon sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memasukkan rancangan ini dalam agenda perbincangan dengan Presiden Negara China, Xi Jinping  dalam siri lawatan beliau ke negara ini sempena 50 tahun persahabatan antara China dan Malaysia pada tahun hadapan,” katanya.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian pada sesi ucapan perbahasan Parlimen Dewan Rakyat, pada Selasa lepas.

Beliau turut memberi jaminan untuk memastikan seluruh warga SESB melakukan persiapan yang terbaik dan memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan rancangan tersebut

“Sebagai makluman, penjanaan 700MW bekalan tenaga elektrik ini akan beroperasi menggunakan gas.

“Oleh yang demikian saya meminta supaya pihak kerajaan memberi arahan kepada PETRONAS untuk membekalkan gas pada kadar RM15/mmBTU kepada SESB untuk tujuan ini.

“Dengan sokongan penuh daripada semua pihak, kita berharap penjana kuasa berkenaan dapat disiapkan dalam masa kurang daripada dua tahun selepas kelulusan diperolehi,” katanya.

Beliau berkata langkah ini adalah sangat penting untuk menstabilkan bekalan elektrik di Sabah.