KOTA KINABALU: Pelancong yang melawat Sabah diingatkan supaya mengambil kira budaya tempatan berkaitan etika berpakaian serta adat dan tradisi destinasi yang dikunjungi.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew memberi peringatan itu susulan gambar yang kembali tular di media sosial yang menunjukkan seorang pelancong berpakaian bikini dengan beg bagasinya, berdiri di sepanjang Jalan Gaya di ibu negeri.
Difahamkan, gambar itu diambil kira-kira sebulan lalu.
“Saya ingin mengingatkan semua pelancong supaya berhati-hati dengan kod pakaian di mana-mana destinasi yang mereka lawati.
“Melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB), kami sering mengingatkan pelancong tentang etika berpakaian dan amalan adat di Sabah. Namun, mereka boleh membuat kajian, jika tidak pasti, tentang negara yang mereka tuju. Hormati budaya tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Christina berkata walaupun Kota Kinabalu dianggap sebagai bandar pulau kerana berdekatan dengan pulau-pulau luar pesisir, iaitu Taman Tunku Abdul Rahman dan Pulau Sepanggar, dan Pantai Tanjung Aru, seseorang dapat melihat bahawa penduduk di pusat bandar tidak berpakaian pantai, tidak seperti persekitaran di destinasi pantai lain.
Mengenai gambar seorang wanita separuh bogel yang bergambar di hadapan bangunan STB, Liew berkata amat menyedihkan apabila mengetahui ada niat jahat sedemikian.
“Kami sedang menyiasat kesahihan akaun dan imej itu. Namun begitu, kami memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan imej dan akaun itu sekiranya ada yang terjumpa hantaran sedemikian di media sosial,” tambah Christina.