KUALA LUMPUR : Kerajaan diminta mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital baharu di Sandakan dan diletakkan di kawasan Parlimen Libaran seiring dengan pertambahan penduduk dan kepesatan pembangunan di daerah ini.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, dengan adanya hospital tersebut penduduk di Parlimen Libaran terutamanya di kawasan pendalaman dan pulau-pulau dan kawasan sekitar akan berpeluang mendapat akses kesihatan yang terdekat selain fasiliti kesihatan lengkap tanpa perlu ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan yang sudah tidak dapat menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
Katanya, ketika ini HDOK Sandakan terpaksa menampung jumlah pesakit yang ramai dari tiga kawasan Parlimen di Sandakan selain pesakit dari daerah-daerah lain seperti Kinabatangan Beluran dan Telupid.
“Lebih memburukkan keadaan hospital ini, turut mengalami kekurangan tenaga doktor pakar seperti pakar jantung, bedah dan bius.
“Justeru itu adalah wajar untuk membina sebuah hospital kedua yang baharu dan diletakan di kawasan Parlimen Libaran,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, semalam.
Suhaimi yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran berkata pembinaan hospital baharu di kawasan Libaran bukan sahaja mengurangkan kadar kesesakan di bandar Sandakan dan kesesakan di HDOK Sandakan juga mengalami kesesakan disebabkan kawasannya terhad ini termasuklah kawasan untuk meletakan kenderaan.
Dalam perkembangan yang sama, Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata dalam Belanjawan 2024 kerajaan Perpaduan memperlihatkan komitmen yang tinggi melalui peningkatan peruntukan pembangunan kepada Sabah sebanyak RM6.6 bilion seiring dengan usaha memperkasakan perjanjian 1963 (MA63).
“Saya berharap daripada peruntukan ini Kerajaan Negeri akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diluluskan untuk menyelesaikan isu-isu utama terutamanya insfrastruktur asas jalan raya, air dan eleketrik yang membelanggu kehidupan rakyat Sabah,” kata Suhaimi.