KINABATANGAN: Jabatan Kerja Raya (KKR) digesa agar lebih cakna dan prihatin terhadap kerosakan yang serius di beberapa jalan raya di daerah ini.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan Rahia Haji Arpaih berkata kerosakan yang ada terbiar begitu sahaja sehingga menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya dan boleh menyebabkan kemalangan berlaku.

Katanya beberapa minggu yang lalu satu kemalangan jalan raya telah berlaku berhampiran pejabat JKR Daerah Kinabatangan yang menyebabkan seorang mangsa telah terkorban.
“Semasa kejadian jalan sememangnya berlubang dan lori cuba mengelak lubang bagaimana pun tersasar dan melanggar kereta laluan bertentangan menyebabkan seorang mangsa terkorban dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rahia dalam tempoh kurang 24 jam hasil maklumat orang ramai selepas kejadian tersebut, jalan raya di kawasan kemalangan barulah diperbaiki.
“Saya kesal sekiranya JKR lebih cakna dan ada pemantaun kemungkinan kemalangan ini boleh dielakkan. Sehubungan itu saya meminta JKR agar kerap turun padang memantau keadaan jalan raya di kawasan ini atau mengarahkan konsesi yang terlibat memperbaikinya segera,” katanya.

Menurut Rahia selepas beberapa hari kejadian ini, satu lagi kemalangan yang menyebabkan kecederaan serius berlaku apabila seorang pelancong menunggang motosikal terbabas setelah motosikal melanggar lubang di jalan masuk menunju ke Kampung Bilit.
“Kebanyakan kes kemalangan ini berlaku kerana faktor jalan raya yang berlubang-lubang..saya yakin jika ada pemantauan dan pembaikan segara dari pihak yang bertanggungjawan kemalangan ini boleh dielakkan,” tegas Rahia.