Suhaimi sambut baik usaha Kerajaan Persekutuan bantu Sabah tangani isu bekalan elektrik di Sabah

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir menyambut baik usaha Kerajaan dalam menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030 juga akan mengukuhkan lagi industri bekalan elektrik di Sabah.

“Saya melihat pengumuman Kerajaan bagi menyokong inisiatif penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantaran elektrik di Selatan Sabah akan dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan elektrik di kawasan Timur Sabah.

“Namun pelaksanaan solar hibrid ini masih banyak tertangguh empat hingga lima tahun lalu sehingga pada hari ini tidak juga menyala seperti pelaksanaan di Pulau Libaran, Pulau Shanghai di Sandakan dan banyak lagi pulau-pulau di Sabah yang telah dipasang solar hibrid ini sampai hari ini tidak boleh digunakan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, semalam.

Suhami turut berpandangan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta membantu mengurangkan beban isi rumah miskin tegar di seluruh negara.

Dalam pada itu Suhaimi juga menyentuh mengenai cukai perkhidmatan yang beliau bimbang sekiranya peningkatan cukai perkhidmatan dari enam peratus kepada lapan peratus ini nanti akan tetap memberikan impak beban kepada rakyat secara keseluruhannya.

Katanya kesan segera kepada peningkatan cukai ialah peningkatan kos perniagaan dan kos ini sudah tentu akan ditanggung oleh pengguna.

Justeru itu, beliau ingin mengetahui apakah terdapat sebarang jaminan Kerajaan bahawa peningkatan cukai perkhidmatan ini nanti tidak akan memberikan beban kepada rakyat B40.

“Bagaimanakah mekanisme kawalan yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sesuka hati susulan daripada peningkatan kadar cukai perkhidmatan ini,” kata Suhaimi.