Pemuda PAS Sabah tawar khidmat kekang gangsterisme pelajar

KINABATANGAN: Isu gangsterisme dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin meruncing kini perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Dewan Pemuda PAS Sabah (DPPNS) Hendri Hamsah bersetuju inisiatif yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam teks khutbah Jumaat lepas yang bertajuk “Atasi Gangsterisme Pelajar Melalui Program Usrah” bagi memberi kesedaran kepada masyarakat awam.

Katanya, belia kini merupakan generasi yang bakal memimpin kita dan negara pada suatu masa nanti.

“Sangat rugi apabila mereka terlibat dengan gangsterisme atau sebarang aktiviti dan budaya negatif yang akhirnya menjerumuskan diri dalam masalah sosial seterusnya merosakkan masa depan mereka,” katanya di sini hari ini.

Hendri berkata, Pemuda PAS menyokong penuh bersedia menjalinkan kerjasama dalam pelaksanaan program usrah bagi membantu JHEAINS untuk mengekang aktiviti gangsterisme ini.

Menurutnya, Akademi Tarbiah (AKTAR) sememangnya menjadikan program usrah ini sebagai nadi dan tunjang utama pengisian kepada pemuda PAS Sabah di semua peringkat sejak sekian lama sekali gus bersedia membantu memberi pengisian kepada JHEAINS dalam mengatasi masalah ini.

“PAS mempunyai silibus yang berlandaskan syariat mengikut rukun usrah itu sendiri dalam membentuk jati diri muslim yang berguna kepada masyrakat dan negara.

“Kami percaya dengan kerjasama semua pihak, pelaksanaan program usrah ini bukan sahaja dapat atasi isu gangsterisme, malah mampu mengatasi pelbagai masalah sosial dalam kalangan pelajar di sekolah,” katanya.