Pelbagai tanaman tanpa bergantung industri kelapa sawit – Bung Moktar

TAWAU: Peneroka perlu bijak memanfaatkan pelbagai jenis tanaman lain bagi mengelak terlalu bergantung kepada industri kelapa sawit.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ketika ini harga buah sawit berada pada pasaran tidak stabil menyebabkan peneroka hilang sumber pendapatan lain.

“Ada ketikanya harga buah sawit akan jatuh menjunam sekali gus memberikan kesan besar kepada peneroka. Jika ada tanaman sampingan lain mereka boleh mengimbangi sumber pendapatan seharian mereka.

“Ini merupakan satu persediaan awal sekiranya peneroka berdepan dengan kejatuhan harga buah kelapa sawit sepertimana yang berlaku suatu ketika dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Masyarat Kampung Rancangan Apas Proper Batu 22 Balung Tawau, di sini semalam.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata, dalam masa sama peneroka juga perlu mengelak bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja warga asing untuk mengurus ladang mereka.

“Budaya ini harus dikikis dengan mengutamakan mengambil tenaga warga tempatan untuk kebaikan dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.