Pemuda Gagasan Rakyat sokong Sabah pertahankan hak 40 peratus hasil negeri

KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan hak 40% hasil bersih Persekutuan daripada negeri itu.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata usaha mempertahankan hak Sabah bukan sekadar isu politik tetapi melibatkan soal keadilan serta penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, generasi muda Sabah melihat perjuangan mendapatkan hak tersebut sebagai penting bagi menjamin masa depan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, telah menunjukkan komitmen jelas dan konsisten dalam memastikan proses rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berjalan secara profesional serta berlandaskan prinsip undang-undang.

Tambahnya, pendekatan matang kerajaan negeri wajar disokong semua pihak tanpa mengira perbezaan politik kerana perkara itu melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah.