Sabah bantah permohonan tangguh perintah mahkamah berkaitan hak 40 peratus hasil

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan dan penentuan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah mengesahkan bahawa kerajaan negeri akan menentang permohonan yang difailkan oleh pihak Peguam Negara Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah tersebut.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mengadakan semakan bersama bagi menentukan jumlah pemberian khas 40 peratus yang berhak diterima Sabah bagi tempoh yang dikenali sebagai “tahun-tahun yang hilang”.

Beliau berkata perintah itu juga menetapkan tempoh 180 hari untuk kedua-dua pihak mencapai persetujuan, dengan tarikh akhir pada 15 April 2026.

Tambah Brenndon, kerajaan negeri kekal komited untuk mematuhi keputusan mahkamah serta terus terlibat dalam perbincangan bersama kerajaan Persekutuan bagi mencapai penyelesaian yang adil dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan.