KUDAT: Pemimpin kerajaan perlu berganding bahu bersama pentadbir sekolah untuk mempertingkatkan lagi kerjasama meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan anak-anak di kawasan ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, ini juga merupakan antara teras pertama perjuangannya selaku wakil rakyat di kawasan ini.
Katanya, beliau bangga sambil melahirkan ucapan terima kasih kepada pentadbir sekolah, kerana begitu komited dalam menjalankan tugas serta amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Saya sangat sanjung usaha guru-guru di sini. Mereka patut dihormati kerana tanpa mereka, siapalah kita pada hari ini.
“Kita berharap, pertemuan seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin dan mereka semua dapat terus bekerjasama dalam hal yang berkaitan dengan bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Professional Learning Community (PLC) SMK/KV Zon Matunggong di sini semalam.
Julita berkata, beliau bangga atas atas pencapaian empat sekolah menengah di Matunggong mengekalkan pencapaian terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pada tahun 2021, bilangan pelajar cemerlang mencapai sekurang-kurangnya 5A dan ke atas adalah seramai 61 orang pelajar.
“Kita sangat bangga SMK Matunggong mengekalkan kedudukannya antara sekolah terbaik luar bandar di negeri Sabah,” katanya