KOTA KINABALU: Pempengaruh media sosial terutama di Sabah diminta memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata seiring perkembangan semasa, rakyat terutama generasi muda lebih memilih melayari media sosial, justeru medium itu dilihat mampu memainkan peranan berkesan untuk menyampaikan maklumat dan memastikan rakyat memahami sepenuhnya dasar dilaksana kerajaan.
“Pastikan apa yang disampaikan itu fakta yang betul, bukan fitnah…apa sahaja usaha dilaksana kerajaan jadikanlah ia suatu keutamaan untuk siaran (di media sosial).
“Selain itu laporkan juga aspirasi dan kemahuan orang muda bagi memastikan penglibatan orang muda ini berterusan demi masa depan negeri dan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pempengaruh Media Sosial di sini malam tadi.
Hajiji berkata antara dasar penting kerajaan negeri masa ini adalah bantuan kepada rakyat terkesan akibat COVID-19 dan kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1 billion bagi memberikan bantuan antaranya bayaran sekali beri sebanyak RM300 seorang untuk rakyat negeri ini.
Banyak inisiatif baharu sedang kerajaan negeri usahakan untuk anak-anak Sabah mendapat kehidupan lebih baik…gagal saya jadi Ketua Menteri jika saya tidak dapat bantu anak-anak Sabah,” katanya.
– BERNAMA