LAHAD DATU: Pasukan Bomba dan Penyelamat masih melancarkan gerakan mencari seorang kanak-kanak lelaki hilang dipercayai dibaham buaya ketika mandi laut di Kampung Sinakut Felda Sahabat 16, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata, setakat jam 3 petang tadi, mayat mangsa belum ditemukan manakala operasi SAR masih giat dijalankan.
Katanya, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun kira-kira jam 7.18 malam tadi.
“Sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sekali gus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemudiannya disambung semula pada pukul 10.20 pagi tadi.
“Bomba bertindak mendapatkan maklumat terkini daripada Balai Polis Cenderawasih dan seterusnya menuju ke lokasi dengan bantuan ibu mangsa.
“Walau bagaimanapun, penilaian awal mendapati tiada tempat sesuai untuk menurunkan bot berhampiran lokasi.
Samsoa berkata, anggotanya terpaksa bergerak ke jeti di kawasan Desa Kencana terletak sejauh 7 kilometer dari lokasi untuk menurunkan bot sekali gus melancarkan gerakkan mencari mangsa.