KOTA KINABALU: Cadangan Pembinaan Patung Mazu adalah tidak wajar diteruskan berikutan kawasan ‘Daerah Kudat’ pernah melakar sejarah Sabah melambangkan Pusat Pendakwaan Agama Islam di negeri ini.
Ketua Armada BERSATU Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata, pembinaan patung mazu boleh di bina di lokasi yang lebih bersesuaian serta strategik sekali gus mengelak wujud lebih banyak kontrovasi selepas projek itu dilaksanakan kelak.
Katanya, Kudat merupakan tumpuan lokasi rekreasi pelancongan luar negara berikutan wujud keunikan kawasan pantainya serta landskapnya secara semulajadi.
“Pembinaan Patung Mazu ini haruslah diteliti dengan lebih mendalam disamping mengambil kira penerimaan masyarakat yang majoritinya daripada kaum Bajau Ubian sebelum ia diteruskan.
“Sebelum ini, tiada permasalahan timbul selepas pembinaan patung mazu tidak diteruskan pembinaannya di daerah Kudat selepas perkara ini dicadangkan pada tahun 2008 lagi.
“Demi kestabilan serta mengambil kira pandangan masyarakat majmuk di Sabah pembinaan Patung Mazu ini tidak perlu diteruskan bagi menghormati masyarakat dan komuniti di Kudat,” katanya di sini hari ini.
Muhammad Affan merupakan Ketua Armada Bahagian Kudat mengulas cadangan Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin agar kerajaan negeri perlu memberikan pertimbangan kelulusan untuk meneruskan pembinaan projek Patung Mazu (Dewi Laut ) di Kudat.
Menurut Bung Moktar, projek ini mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pelancongan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Bung Moktar juga melihat penduduk setempat boleh menjana lebihan pendapatan melalui aktiviti perniagaan berasaskan penghasilan prodak kraftangan serta makanan untuk dijual kepada pelancong luar yang datang melawat ke daerah itu.