KOTA KINABALU: Pelanjutan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun bakal menyumbang kepada angka pengangguran di Sabah.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, cadangan tersebut sekiranya dilaksanakan kelak akan mengeruhkan situasi pasaran pekerjaan terutama di negeri ini.
Katanya, ketika ini Sabah mencatatlan kadar pengangguran tertinggi tertinggi berbanding beberapa negeri lain di Malaysia.
“Sabah sedang berhadapan dengan isu pengangguran tertinggi sekitar 7.7 peratus meskipun secara positifnya angka penyertaan buruh merupakan kedua tertinggi selepas Selangor iaitu sebanyak 2.3 juta orang.
“Berdasarkan situasi itu, perlanjutan umur persaraan wajib kepada 65 tahun dilihat sebagai langkah ke belakang yang akan menyumbang kepada angka pengangguran di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Abqaree berkata, adalah lebih wajar bagi kerajaan mengekalkan status quo umur persaraan wajib dan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti sektor perkhidmatan awam.
“Kita sepatutnya beri ruang untuk menempatkan lebih ramai golongan muda lebih bertenaga serta mempunyai literasi teknologi tinggi berbanding golongan berusia.
“Adalah lebih wajar bagi kerajaan mengekalkan had umur bersara wajib sedia ada sekali gus memberi fokus untuk meningkatkan produktiviti sektor awam kepada golongan muda,” jelas Abqaree.