TANJUNG MALIM: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengingatkan pelajar Sabah yang menuntut di luar negeri supaya tidak mudah terpengaruh dengan cerita luar yang tidak tepat mengenai kerajaan negeri.
Beliau sebaliknya mahu mereka mengambil tahu sendiri usaha dan inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam membawa pembangunan serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat di Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri komited meneruskan agenda pembangunan termasuk menangani masalah bekalan air, jalan raya dan elektrik yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua tahun.
“Kita mesti tahu secara peribadi apa yang dilakukan kerajaan. Jangan mudah terpengaruh dengan cerita yang tidak betul, sedangkan kerajaan bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah / Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini semalam.
Hajiji turut melahirkan rasa bangga apabila dimaklumkan seramai 2,772 pelajar Sabah sedang menuntut di universiti berkenaan ketika ini.
“Ini membuktikan anak Sabah bukan sahaja ramai melanjutkan pengajian, malah aktif dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan kebudayaan sehingga mengharumkan nama negeri dan negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan graduan Sabah yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mahupun luar negara supaya kembali berkhidmat di negeri itu.
“Jika ada peluang, baliklah berkhidmat di Sabah dan sumbangkan kepakaran untuk membangunkan negeri kita,” katanya.
Tambah beliau, peningkatan kutipan hasil negeri juga membolehkan kerajaan menyalurkan semula manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan pendidikan dan kebajikan.
