Dua lelaki ditahan susulan penemuan anggota badan di Menggatal

KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki tempatan berhubung kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP  Kasim Muda, berkata tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu pada hari sama.

Menurutnya, operasi dijalankan kira-kira jam 4.30 petang di Kampung Sri Kenangan, Sepanggar selepas saksi memaklumkan mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki.

“Bertindak atas maklumat itu, pada jam 8.10 malam, seorang lelaki berusia 71 tahun ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa jam kemudian, kira-kira jam 10.30 malam, seorang lagi lelaki berusia 19 tahun ditahan di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

Polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.

Kasim berkata siasatan awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dan mendakwa motif kejadian berkaitan perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan. Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.