31 PATI Ditahan Dalam Ops Sapu, 4 Lagi Dicekup Ops Jaja

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa siri operasi di Kota Kinabalu dan Lahad Datu semalam.

Dalam operasi di Lahad Datu, 22 pegawai penguat kuasa memeriksa 111 individu dan menahan 31 warga asing kerana pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.

Terdiri daripada 3 lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, 8 kanak-kanak lelaki dan 8 kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, dalam Ops Jaja di Kota Kinabalu, 14 pegawai memeriksa 10 individu dan menahan 4 PATI (2 lelaki dewasa, 2 perempuan dewasa) kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

JIM menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta membanteras kehadiran PATI di Sabah.