PBS letak hasrat bertanding semula di DUN Melalap – Joachim

TENOM : Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Melalap berharap agar dapat meletakkan calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, setakat ini belum ada perbincangan secara terperinci di peringkat tertinggi kepimpinan GRS berkaitan calon bagi DUN Melalap.

Katanya, namun apa yang lebih penting ialah merampas semula kerusi Dun Melalap sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Semua ahli PBS di Bahagian Melalap perlu bekerja keras agar kita dapat merampas semula kerusi DUN Melalap pada PRN-17.

“Kita akan datang ke semua bahagian bukan sahaja di Melalap ini, untuk bertemu ahli PBS agar mereka bersiap sedia serta berkerja keras pada PRN ini,” katanya di sini semalam.

Joachim berkata, dalam tempoh sama PBS akan memastikan setiap calon bertanding atas logo GRS akan menjadi pilihan utama rakyat pada PRN nanti.

“Kita mahu bangkitkan semula semangat ahli PBS di seluruh Sabah supaya kita dapat membantu GRS kembali menjadi kerajaan selepas PRN ini.

“Soal pemilihan calon bukan perkara utama. Siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon, sama ada muda, lelaki atau perempuan, jika atas tiket PBS, kita mesti beri sokongan penuh, 100 peratus,” jelas Joachim.