Pemuda Gagasan Rakyat siap sedia hadapi PRN17 – Fairuz

KOTA KINABALU : Pemuda Gagasan Rakyat sudah bersiap sedia dengan jentera untuk mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal tiba pada bila-bila masa.

Ketuanya, Datuk Fairuz Renddan berkata, PRN17 adalah sebuah medan perang yang penting kerana hampir 60 peratus pengundi yang bakal menentukan hala tuju Sabah adalah tergolong dalam kalangan belia atau pengundi muda.

Katanya, ini merupakan sebuah angka yang tidak boleh dipandang remeh berikutan anak muda ini adalah pengundi berdaftar sekali gus berhak sendiri untuk membuat keputusan mereka.

“Untuk itu, kita semua, dari Pemuda Gagasan Rakyat sudah sedia dengan jentera, hampir 90 peratus persiapan jentera kita sudah susun atur di semua peringkat dan semua 73 bahagian seluruh Sabah.

“Peranan anak muda ini bukan sekadar menentukan hala tuju dan masa depan Sabah, baik dari sudut calon sahaja, tetapi lebih penting adalah dalam ruang atau skop hala tuju kepimpinan,” katanya.

Fairuz merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, Pemuda Gagasan Rakyat turut digesa untuk mengekalkan tekad dan berusaha lebih keras bagi merancakkan lagi jentera bagi kempen PRN17.

“Rakyat boleh menilai dan melihat semua usaha kerajaan GRS dan untuk itu, saya mahu semua pemuda untuk terus kerja keras, kita tidak mahu fikir soal calon atau apa, tapi yang kita mahu fokus adalah bekerja untuk pastikan kerajaan sekarang dikekalkan.

“Saya mahu semua pemuda, dari peringkat akar umbi, di semua bahagian, pastikan kerja keras kita adalah dengan misi untuk membawa kemenangan dan menyokong kepimpinan Presiden parti merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor,” jelas Fairuz.

Menurutnya, jangan mempersoalkan siapa ditawarkan menjadi calon berikutan semua skop perbincangan terletak kepada kepimpinan tertinggi.

“Terkini, jumlah keahlian Pemuda Gagasan Rakyat di seluruh negeri mencecah jumlah 90,000 orang.

“Jentera inilah yang kita akan gunakan untuk PRN17 nanti dan kita tunggu arahan seterusnya, bila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kelak,” jelaa Fairuz.