Pandikar letak jawatan, USNO keluar GRS

KOTA KINABALU: Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Pandikar Amin Haji Mulia, mengumumkan peletakan jawatan sebagai timbalan pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan keluar daripada gabungan itu.

Keputusan tersebut dimaklumkan dalam pertemuan bersama Hajiji Noor selaku pengerusi GRS pada Selasa.

Menurut sumber, langkah itu turut dipersetujui dalam mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO.

Antara alasan yang dikemukakan ialah ketiadaan keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan selepas PRU-DUN Sabah ke-17.

USNO menyatakan akan terus bergerak sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi tempatan serta komited memainkan peranan semak dan imbang.

Parti itu turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan GRS dan rakan komponen atas kerjasama sebelum ini.