3 remaja ditahan rogol pelajar

TAWAU: Tiga remaja lelaki ditahan polis kurang 24 jam selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan dalam kejadian di Merotai, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga didakwa dibawa menaiki kereta oleh salah seorang suspek sebelum dibawa ke sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan kira-kira jam 6.50 petang di Pondok Polis Merotai.

“Laporan dibuat oleh ibu mangsa kira-kira jam 4.43 petang dan tangkapan berjaya dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Menurutnya, dua lagi remaja turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.