NGO digesa aktif laksana CSR bantu golongan memerlukan menjelang Aidilfitri

PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah itu untuk terus memainkan peranan aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, NGO merupakan antara penggerak penting dalam memastikan kebajikan masyarakat di peringkat akar umbi terus diberi perhatian, khususnya kepada golongan fakir miskin, asnaf dan mereka yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan, peranan NGO amat signifikan dalam memperluaskan usaha kebajikan kepada komuniti setempat.

“Dengan kegembiraan kita menyambut Syawal tidak lama lagi, janganlah kita melupakan golongan yang memerlukan bantuan.

“Program CSR oleh NGO amat digalakkan bagi membantu meringankan beban golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program penyerahan bakul makanan anjuran Persatuan Wanita Perkasa Sabah (PWPS) di Dewan Mini Kampung Muhibbah di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 34 penerima terdiri daripada golongan asnaf sekitar Putatan menerima bantuan bakul makanan.

Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) berharap program kebajikan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.