TAWAU: Hanya kerana menegur rakan sekerja yang belum memasak nasi, seorang lelaki cedera selepas ditetak menggunakan pisau pemotong ikan dalam kejadian di sebuah restoran di Kubota Sentral, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek berada di tempat kerja di restoran berkenaan.
Menurutnya, suspek dipercayai bertindak di luar kawalan selepas ditegur mangsa sebelum menetak tangan kiri mangsa menggunakan pisau pemotong ikan.
“Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun yang juga pekerja restoran berkenaan berjaya ditahan di tepi jalan Jalan Habib Hussein.
Katanya, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 33 sentimeter serta sekeping plastik putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
