KOTA KINABALU: Nasi lemak dipercayai punca kejadian wabak keracunan makanan yang melibatkan 103 murid di SK Pulau Gaya, di sini, isnin lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, siasatan awal mendapati bahawa kesemua kes mempunyai sejarah memakan nasi lemak sekitar jam 9.50 pagi pada 22 Julai 2024.
Katanya, sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan.
“Tindakan kawalan yang telah dilaksanakan termasuk memberi rawatan yang bersesuaian, menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD).
“Pendidikan kesihatan kepada individu terlibat serta pengambilan sampel makanan, minuman, dan persekitaran bagi tujuan pengesahan punca kejadian,” katanya dalam kenyataan medianya di sini semalam.
Asits berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah melalui Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu menerima notifikasi kejadian satu wabak keracunan makanan daripada klinik kesihatan dan hospital kerajaan pada 22 Julai 2024, jam 2.09 petang.
“Wabak ini melibatkan seramai 103 murid di sebuah sekolah rendah di Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
“Kes-kes mengalami gejala muntah, cirit-birit, dan sakit perut.
“Sebanyak lapan kes telah dimasukkan ke wad, manakala 95 kes dirawat sebagai pesakit luar.
“Kesemua kes berumur di antara 6 hingga 12 tahun dan berada dalam keadaan stabil, serta tiada kematian dilaporkan,” katanya.
Dr. Asits berkata, keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.
“Ia boleh disebabkan oleh bakteria atau toksin bakteria tersebut, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, tumbuhan yang beracun seperti cendawan dan hasilan laut seperti kerang.
“JKN Sabah juga ingin menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan.
“JKN Sabah dengan kerjasama PKK Kota Kinabalu akan terus memantau situasi kejadian ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” kata Asits.
