Lelaki tempatan ditahan pecah masuk kedai kelengkapan rokok elektronik

TAWAU : Seorang suspek lelaki ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah kedai alat kelengkapan rokok elektronik di sekitar kawasan kampung Pangkalan Murut, Kalabakan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek tempatan berumur 30 tahun ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan di rumahnya kira-kira jam 6.30 petang selepas menerima  maklumat orang awam.

Katanya, hasil serbuan tersebut polis kemudian menemui semula barangan sekali gus merampas barang yang dipercayai dicuri oleh suspek.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 10.00 pagi itu, mangsa mendapati kedai miliknya dimasuki pencuri, setelah pemeriksaan dibuat mendapati terdapat kesan umpil pada bahagian pintu utama kedai serta barang yang di simpan di dalam laci dan rak dicuri.

“Antara barang yang hilang seperti komputer riba, jam tangan berjenama dan alat kelengkapan rokok elektronik dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM15,000,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Jasmin berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan.