Lelaki lemas ketika menembak ikan

KUDAT : Seorang lelaki dipercayai  lemas ketika melakukan aktiviti menyelam serta menembak ikan di kawasan pesisiran Pantai Simpang  Mengayau, di sini semalam.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jebas berkata, mangsa dikenali sebagai Nikalmon Yusuf, 30 tahun, ditemui orang awam kira-kira 7.30 malam sekali gus diberikan rawatan Pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) sebelum ketibaan pasukan Bomba.

Katanya, pasukan Bomba tiba di lokasi kemudiannya membantu mangsa memberikan CPR kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital daerah Kudat untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan Jentera EMRS.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bomba bersama kekuatan tujuh anggota dari Balai Kudat diketuai Komander Operasi, John Francis Andam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggillan kecemasan pada jam 7.40 malam tadi,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ishak berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di kawasan kejadian operasi ditamatkan pada jam 8.24 malam tadi.