Naiktaraf kemudahan keretapi tarik orang ramai guna perkhidmatannya: Bung

Bung menyerahkan pek berbuka puasa.

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan mencari kaedah bagi menarik lebih banyak penumpang menaiki keretapi antara Kota Kinabalu, Beaufort dan Tenom.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sasaran utama adalah menjadikan perkhidmatan keretapi sebagai alat pengangkutan masuk dan keluar bandar bagi mereka yang tinggal di barat daya dari sini sebagai pilihan utama.

Sehubungan dengan Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) perlu memberikan ‘tawaran lebih baik’ kepada penumpang agar sistem pengangkutan terbabit menjadi pilihan untuk mereka.

“Kita akan mengadakan perbincangan antara Pengarah JKNS dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan termasuklah menukar gerabak-gerabak baharu yang lebih selesa kepada pengguna, ” katanya ketika ditemui selepas mengagih-agihkan pek berbuka puasa kepada penumpang keretapi yang dalam perjalanan menuju ke destinasi masing-masing dari Kota Kinabalu, semalam.

Bung (kiri) menyerahkan pek berbuka puasa kepada penumpang.

Hadir sama Pengarah JKNS Leonard Stephen Poyong dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Benedict Asmat.

Menurut Bung sebarang usaha untuk menaiktaraf kemudahan di stesen atau keretapi itu sendiri akan menarik lebih banyak orang dan akhirnya membawa kepada aliran lalu lintas jalan raya yang lebih mudah.

“Kita sedar sebahagian besar penumpang keretapi pada pukul 5.30 petang atau awal pagi adalah kakitangan kerajaan dan orang ramai yang berkerja di Kota Kinabalu yang berulang alik setiap hari terutama petugas di Hospital Queen Elizabeth yang turun di Putatan, Papar dan sepanjang jalan merupakan pengguna tetap Perkhidmatan ini,” katanya.

Ketika mengulas program tersebut Bung berkata program tahunan JKNS itu dilihat amat positif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan JKNS selain merapatkan hubungan jabatan dan orang ramai khususnya pengguna.

“Kami berhasrat untuk meringankan beban mereka dan memperkuat hubungan sesama manusia dengan pengguna yang setia dan saya berharap tradisi ini akan berlanjutan, ” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply