PITAS: Naib Ketua Penyelaras UMNO Pitas, Maslan Selen menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah melihat daya kepimpinan pemimpin PGRS terutamanya Datuk Seri Dr. Ruddy Awah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan rakyat Pitas ke arah yang lebih baik selain situasi politik UMNO yang berlaku ketika ini.

“Keputusan menyertai PGRS dibuat kerana melihat kesungguhan pemimpin PGRS seperti Datuk Seri Ruddy yang sentiasa prihatin kepada nasib dan keadaan rakyat, beliau berjuang untuk membangunkan daerah ini agar rakyat terbela.
“Situasi politik UMNO yang berlaku ketika ini turut mendorong pemikiran saya menyertai PGRS yang merupakan parti memerintah yang saya yakin berpotensi sangat besar membangunkan ekonomi negeri seterusnya membantu masyarakat.
“Saya dengan rela hati tanpa sebarang syarat hari ini menawarkan diri untuk menyertai PGRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Ruddy dan saya yakin selepas ini akan ada lagi beberapa cawangan UMNO di Pitas ini akan menyertai saya,” katanya selepas memberikan borang keahlian PGRS kepada Ketua Bahagian PGRS Pitas, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah di Dewan Terbuka Kampung Salimpodon sempena

Majlis Berbuka Puasa PGRS Bahagian Pitas, semalam.
Sementara itu, Ruddy menyambut baik penyertaan Maslan dan turut mengalu-alukan pemimpin yang lain untuk turut bersama membangunkan Pitas.
“Kita berbesar hati dan gembira menerima baik penyertaan Maslan menyertai kita dan diharapkan kehadiran beliau akan menjadikan PGRS Pitas akan terus bertahan dan lebih kuat untuk terus berjuang membantu rakyat dari pelbagai aspek.
“Sebagai ketua bahagian berserta pemimpin-pemimpin PGRS Pitas, sudah semestinya kami mengharapkan kehadiran beliau dari UMNO dan juga dan mengalu-alukan rakan-rakan dari Parti Warisan untuk bersama memastikan PGRS dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menjadi yang terbaik dalam membela rakyat,” katanya.
Turut hadir, Naib Ketua PGRS Bahagian Pitas Datuk Dr. Julkipli Sukur, Timbalan Ketua Bahagian PGRS Pitas Datuk Harun Ismail, Ketua Penerangan PGRS Pitas Datuk Ng Loi Teck, Ketua Wanita PGRS Pitas Ramlah Nasir, Ketua Masyarakat Cina Pitas Ng Lai Thau dan Pegawai Daerah Pitas Nahalan Medunah.