KUALA LUMPUR: Peranan Ejen Kesihatan Komuniti (MyChampion) penting bagi menyampaikan mesej khususnya secara bersemuka di peringkat akar umbi dalam usaha memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat supaya segera mendapatkan dos penggalak.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, walaupun kerajaan bertanggungjawab menyampaikan maklumat terkini kepada komuniti melalui pelbagai saluran, masih terdapat keperluan untuk mesej disampaikan terus kepada rakyat.
“Dalam menghadapi perubahan sifat virus COVID-19 seperti varian Omicron, saya minta anda semua (MyChampion) untuk memberi fokus kepada isu semasa bagi menasihatkan penerima dos lengkap untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.
“Pengambilan dos penggalak dapat membantu meningkatkan semula gerak balas imun terhadap jangkitan COVID-19 dan mengelakkan penerima daripada mendapat kesan teruk akibat jangkitan.
“Adalah menjadi hasrat saya supaya pasukan MyChampion sentiasa bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai ejen pemangkin kepada perubahan tingkah laku komuniti bukan sahaja untuk menangani wabak COVID-19, tetapi juga cabaran kesihatan lain,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bersempena Webinar Dos Penggalak: Peranan MyChampion yang disiarkan secara langsung di Facebook KKM laporan Berita Harian malam tadi.
Khairy berkata, selaku ejen kesihatan komuniti, pasukan MyChampion mampu mendekati komuniti sekeliling dengan efisien, sekali gus memastikan setiap individu peka serta mampu bertindak melindungi diri, keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata, peranan MyChampion juga amat penting dalam mendayaupayakan dan memastikan komuniti berperanan aktif dalam pencegahan COVID-19 dengan mengamalkan norma baharu, mematuhi prosedur operasi standar ditetapkan dan mengambil vaksinasi sebagaimana disarankan pakar di peringkat dunia dan tempatan.