KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan mengapa Perayaan Kaamatan dan Gawai tidak diambil kira semasa tahun persekolahan 2022 didraf.
Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, dalam kalendar akademik terkini yang diterbitkan oleh KPM, cuti penggal pertama dijadualkan bermula pada 4 Jun dan berakhir pada 12 Jun.
“Adakah Kementerian lupa bahawa Pesta Kaamatan jatuh pada 30 dan 31 Mei manakala Pesta Gawai disambut pada 1 Jun?
“Bagaimana mungkin mereka yang duduk dalam jawatankuasa untuk membincangkan jadual ini tidak mengambil kira sentimen dan situasi rakyat Sabah dan Sarawak?” katanya.
Dr Jeffry yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, KPM telah menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak dengan sikap tidak sensitif mereka.
“Terdapat ramai orang Sabah dan Sarawak yang tinggal di Malaya. Mereka pulang ke tempat asal mereka untuk meraikan dua perayaan kebudayaan yang paling penting bersama keluarga mereka.
“Bagaimana mereka boleh melakukannya tahun depan apabila anak-anak mereka masih perlu pergi ke sekolah dan hanya boleh pulang ke rumah beberapa hari selepas perayaan berakhir,” katanya.
Dr Jefrry berkata, Kerajaan Negeri Sabah akan menghubungi KPM secepat mungkin untuk membincangkan cara untuk memulihkan keadaan.