Mutiara GRS sumbang 10 kerusi roda di Lumadan

BEAUFORT: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) mengadakan Program Ziarah Kasih ke Kampung Melati dan Kg. Lingkungan Laut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Program tersebut diketuai isteri Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lumadan, Nursiah Santri bersama Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS).

Nursiah ketika ditemui media berkata, sebanyak 10 kerusi roda disumbangkan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau turut menyampaikan kerusi roda kepada seorang warga emas berusia 99 tahun, Kasnah Abdul penduduk Kg. Lingkungan Laut.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik program kebajikan ini sejajar dengan saranan serta galakan diberikan Ketua Menteri yang juga Penasihat MUTIARA GRS, Datuk Hajiji Noor, yang mahu semua isteri wakil rakyat turut membantu dalam aktiviti kebajikan.

“Golongan warga emas dan OKU terus mendapat perhatian daripada Kerajaan, terima kasih diucapkan kepada kepimpinan YAB Ketua Menteri,” katanya.