Mustapha cadang Miyolon Ensambiyan Aidilfitri dimasukkan kalender pelancongan Sabah

KOTA KINABALU: Tradisi Miyolon Ensambiyan Aidilfitri di Kampung Darau dan Sepanggar dicadang untuk diperluas ke skala lebih besar dan dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau telah meminta Universiti Malaysia Sabah UMS) serta penganjur berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi tujuan itu.

Katanya, tradisi yang diangkat semula melalui penyelidikan UMS itu mempunyai nilai budaya tinggi serta berpotensi menjadi produk pelancongan.

“Ini satu tradisi unik yang mungkin kurang dikenali di Sabah, tetapi mempunyai nilai keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Ia juga mencerminkan warisan nenek moyang yang perlu dikekalkan dan diwarisi generasi muda,” katanya.

Mustapha berkata, kejayaan penganjuran program itu setiap tahun menunjukkan komitmen tinggi masyarakat setempat walaupun diadakan pada hari kedua Aidilfitri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Tamu Miyolon Ensambiyan Aidilfitri 2026 di Kampung Darau Laut.