SANDAKAN: Seorang wanita dan anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 23, Jalan Labuk, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ibunya, 28, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent.
Difahamkan, motosikal dinaiki tiga sekeluarga itu dalam perjalanan menuju ke arah Beluran sebelum dipercayai cuba memotong kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, tindakan itu menyebabkan motosikal berkenaan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, kanak-kanak yang membonceng motosikal maut di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
