KUDAT: Pertubuhan Muafakat Sabah (MUAFAKAT) mengesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membatalkan projek pembinaan Patung Mazu demi kemaslahatan penduduk di daerah Kudat.
Pengerusi MUAFAKAT Kudat, Abdul Rasil Daie berkata, ini berdasarkan atas sebab-sebab lokasi pembinaan Patung Mazu tidak bersesuaian meskipun di bina di tanah tanah persendiriran berikutan ia terletak berhampiran dengan Masjid Asy-Syakirin, Kudat.
Katanya, ini secara tidak menghormati sensitiviti majoriti umat Islam di Kudat berikutan tujuan pembinaan Mazu ini adalah ‘Pelancongan Ibadat’ berdasarkan kenyataan beberapa anggota Kabinet Sabah.
“Berdasarkan tinjauan di lapangan serta di media sosial, pembinaan Patung Mazu di kawasan tersebut dibimbangi mengundang rasa gelisah serta tidak puas hati dalam kalangan umat Islam di daerah Kudat.
“Majoriti penduduk Kudat adalah beragama Islam, diikuti Kristian manakala terakhir Budha. Hal ini boleh menggugat keharmonian kaum dan agama, khususnya di daerah Kudat,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rasil berkata, tujuan asal pembinaan Patung Mazu adalah ‘Pelancongan Ibadat’ disamping memajukan industri pelancongan di Sabah adalah tidak munasabah.
Ini memandangkan Kudat berhadapan dengan pelbagai masalah kemudahan asas seperti jalan raya yang sempit dan rosak, masalah bekalan air dan masalah bekalan elektrik.
“Perkara ini hanya akan memberikan imej buruk kepada Kudat dan Sabah secara amnya. Maka, sewajarnya isu masalah kemudahan asas ini menjadi prioriti untuk diselesaikan berbanding pembinaan Patung Mazu.
“Latar belakang sejarah Kudat yang melahirkan ramai tokoh terkemuka yang berusaha membebaskan Kudat daripada terus diganggu dan terpengaruh dengan budaya asing,” katanya.
Beliau berkata, secara sejarah Kudat merupakan pusat penempatan British pertama sekitar 1773, iaitu lebih awal daripada Pulau Pinang (1786), Singapura (1819) dan Melaka (1824).
Bagaimanapun, penempatan itu diserang kemudian dimusnahkan oleh pejuang Datu Tating semasa pertempuran di Pulau Balambangan pada 5 Mac 1775.
“Pada era tahun kemerdekaan, Allahyarham Tun Mustapha Harun yang berasal dari Kg. Limau-Limauan, Kudat juga merupakan pejuang awal menentang pendudukan Jepun dan terlibat secara langsung dalam proses kemerdekaan.
“Sejarah perjuangan, Allahyarham Tun Mustapha Harun diabadikan di Muzium Tun Mustapha Kudat,” katanya.
Abdul Rasil menambah, laluan ke Kudat dari Kota Kinabalu, melalui daerah Tuaran, Kota Belud dan Kota Marudu merupakan laluan bersejarah yang menjadi medan pertempuran tokoh besar yang menentang berjuang hingga ke titisan darah terakhir demi mempertahankan kedaulatan agama dan negara di negeri ini.
“Maka, adalah jelas dengan memasukkan unsur asing dan budaya luar, adalah suatu pengkhianatan kepada perjuangan tokoh-tokoh Sabah,” katanya.