KOTA MARUDU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal dengan pendirian akan terus berjuang dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sehubungan itu seluruh ahli serta jentera parti perlu terus bersatu dan bekerjasama dengan parti-parti yang ada dalam GRS.
“Senario politik akan berubah-ubah dari masa ke semasa. Oleh itu, kita haruslah peka kepada keadaan persekitaran. Kawan pada hari ini mungkin akan menjadi lawan pada keesokan harinya.
“Kalau tiada kerjasama dan kita bersaing antara satu sama lain ini akan memenangkan pihak lawan pada akhirnya.
“PBS adalah satu-satunya parti yang terus berdiri teguh sejak 38 tahun lalu. Perjuangan PBS amat murni iaitu memperjuangkan hak-hak orang-orang Sabah tanpa mengira status, bangsa dan agama serta disokong sampai bila-bila,” katanya di sini hari ini.
Joachim merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata semua ahli perlu mencontohi prinsip pemimpin Agung parti yang merupakan pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang sederhana, tidak ekstrem, tetapi tegas dengan pendirian dan fokus segi kerjaya.
Beliau juga mahu melihat golongan muda turut memainkan peranan penting dalam parti.
Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ketua-ketua cawangan N7 Tandek yang berjaya menjalankan dan melaksanakan AGM masing-masing dan menghantar perwakilan kali ini.