KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Ini berikutan di tengah desas-desus mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan persekutuan.
Wetrom merupakan Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yakin Anwar mampu membawa negara ini ke era kecemerlangan.
“Saya amat yakin kemampuan YAB Perdana Menteri untuk membawa Malaysia yang lebih maju, terutama dalam memperjuangkan mengatasi masalah kemiskinan khasnya Kota Marudu dan seluruh negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Desas-desus mengenai kononnya ada gerakan untuk menumbangkan kerajaan ketika ini (Kerajaan Perpaduan) semakin kencang sejak beberapa hari yang lepas.
Desas-desus pertukaran kerajaan itu timbul susulan hantaran teka-teki pemimpin Bersatu Muhammad Faiz Na’aman yang seolah olah bermaksud PN telah mempunyai 126 sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 5 Mei menyuarakan keyakinannya bahawa pentadbiran yang diterajuinya akan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang.