UMNO Sabah Perlu Ambil Tindakan Kepada Ahli Parlimen Kalabakan

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy perlu menjelaskan pendiriannya berhubung status keahliannya dalam UMNO.

Ketua Pemudanya, Muhammad Alias Udin berkata, sejak kebelakangan ini timbul persoalan apabila banyak program serta majlis rasmi apabila Ahli Parlimen Kalabakan ini tidak lagi menggunakan logo UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Katanya, lebih mendukacitakan banyak program yang menggunakan tenaga ahli parti UMNO hanya dinyatakan sebagai rakan kerjasama atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa ada sebarang penghargaan sewajarnya.

“Ketiadaan logo UMNO dan BN dalam poster papan iklan ucapan Hari Raya Aidilfitri Suryady yang dipasang baru-baru ini turut menjadi tanda tanya ahli dan penduduk di daerah ini.

“Papan iklan itu memaparkan gambar beliau bersama Hajiji dan wakil rakyat Gagasan Rakyat sahaja, selain logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Pemuda UMNO Kalabakan sangat kecewa dengan tindakan itu kerana selama ini kamilah yang banyak membantu sehingga dia (Suryady) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” katanya di sini semalam.

Muhammad Alias meminta agar pucuk pimpinan UMNO negeri dan Pusat mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.