LAHAD DATU: Daerah Lahad Datu berpotensi besar dicadangkan dinaik taraf menjadi status sebagai Majlis Perbandaran di masa depan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan, Datuk James Ratib berkata, beliau berharap agar cadangan ini dapat dipertimbangkan kerajaan negeri berdasarkan beberapa kriteria atau justifkasi sedia ada di daerah ini.
Katanya, cadangan ini akan dikemukakan melalui Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Benetty Mohd.Dzul.
“Lahad Datu sangat berpotensi besar khususnya dalam sektor perindustrian serta pertanian antara langkah tepat ke arah menaiktaraf menjadi Majlis Perbandaran Lahad Datu.
“Kita juga mencadangkan kepada kerajaan negeri agar supaya Daerah Lahad Datu dipilih sebagai Tuan Rumah Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024,” katanya di sini hari ini.
James berkata, berdasarkan kepada populasi mempunyai kepelbagaian etnik mempunyai keunikan tersendiri termasuk orang asal suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) melibatkan Dusun Segamo, Dusun Subpan, Idahan dan Dusun Begak.
“Kita ajak supaya masyarakat yang bukan suku kaum KDMR supaya membuang tanggapan atau stigma bahawa perayaan Pesta Kaamatan hanyalah untuk etnik KDMR sahaja.
“Saya percaya melalui perayaan Pesta Kaamatan, kita berupaya memperkukuhkan dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan dan kekitaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya di Negeri Di bawah Bayu yang kita cintai ini,” katanya.