PAPAR: Sabah dijangka berdepan krisis air yang lebih besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang jika tiada tindakan drastik dan komprehensif diambil bagi menangani masalah itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd AliAli berkata terdapat empat komponen utama yang perlu diberi perhatian segera yang menurutnya telah menyumbang kepada masalah gangguan air di negeri ini.
Katanya ini ternasuk mencari penyelesaian masalah sumber air, meningkatkan keberkesanan loji rawatan, memulihkan sistem perpaipan dan memperhebatkan penguatkuasaan.
“Ini (masalah air) merupakan satu legasi yang kita warisi sekian lama.
“Bagi menyelesaikan masalah air di Sabah, ia memerlukan pendekatan yang komprehensif meliputi empat aspek tersebut.
“Saya mengharapkan kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan kerajaan GRS dan Pakatan Harapan di peringkat negeri mengambil pendekatan yang berani dan proaktif menangani isu legasi ini,” katanya.
Amirzan berkata salah satu daripada masalah utama di Sabah ialah kekurangan sumber air yang pastinya memerlukan pembinaan empangan air di kawasan tertentu.
“Kita tahu ada isu berbangkit mengenai cadangan ini (termasuk isu pembinaan empangan di Papar), tetapi kita harapan kerajaan negeri mengambil tindakan berani meskipun tidak popular kepada pihak tertentu.
“Ini kerana kalau kita tidak buat keputusan sekarang, Sabah dalam tempoh yang singkat beberapa tahun ini akan menghadapi krisis air yang jauh lebih besar,” katanya.
Mengenai masalahmasalah air di Papar, Armizan yang juga ahli Parlimen Papar berkata projek pembesaran loji rawatan air daerah itu yang menelan belanja lebih RM400 juta dijangka dimulakan pada suku kedua tahun ini.
Katanya jika semuanya berjalan lancar, projek loji rawatan air itu dijangka siap pada tahun 2026, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan penduduk Papar.