KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Saya sangat yakin Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga pilihan raya lima tahun lagi,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas laporan mendakwa pembangkang kini mempunyai Akuan Bersumpah (SD) mencukupi bagi membentuk kerajaan.
“Kalau dia ada (SD) , masa Parlimen nanti bawa SD dan buat usul di Parlimen.
“Tidak ada masalah. Ini tiap-tiap minggu dia jadi macam mengigau.. sebelum puasa, sebelum raya, selepas raya, sebelum raya haji, sebelum Thaipusam, sebelum Tahun Baharu Cina dan banyak lagi sebelum.
“Insya-Allah, Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang,” katanya dalam laporan BH Online hari ini.
Sebelum ini, ada laporan menyatakan pembangkang mempunyai SD mencukupi dan mencadangkan nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sebagai Perdana Menteri.
Semalam, PAS mengesahkan kenyataan media kononnya menzahirkan sokongan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menjadi Perdana Menteri sebagai palsu.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.