KOTA KINABALU : Majlis Pimpinan Pusat akan mengadakan mesyuarat pada 23 April ini untuk mendengar penjelasan Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPP) berkaitan keputusan pemilihan Ketua Cabang Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 di seluruh Malaysia.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata, jika ada calon-calon di Sabah yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan hendaklah menggunakan saluran dalaman untuk sebarang aduan.
Diharap aduan berkaitan perlu dihantar ke JPP dengan kadar segera untuk membolehkan penilaian serta pertimbangan dapat dijalankan dalam tempoh terdekat.
“Namun, kami percaya terdapat beberapa isu yang wajar dibangkitkan dan akan menggunakan saluran serta proses parti yang sewajarnya untuk menyuarakan perkara tersebut.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan pemilihan parti dijalankan dengan integriti dan keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada pemilihan berkenaan Mustapha merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berjaya mengekalkan jawatan ketua Cabang Kota Belud selepas mengalahkan dua pencabar.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Sepanggar memperoleh 1,405 undi, mengatasi Madeli @ Modily Bangali (100) dan Azhrie Jenaim (67).
Sementara itu dalam perkembangan sama, Mustapha turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang menyokongnya termasuk jentera dan ahli parti yang berjuang bersamanya sepanjang kempen berlansung.
“Sokongan anda semua amat saya hargai dan akan terus menjadi kekuatan saya dalam meneruskan perjuangan reformasi dan agenda perubahan berteraskan gagasan Malaysia Madani”.
“Ini merupakan satu tanggungjawab besar yang saya pikul lebih-lebih ke arah perjalanan menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka akan berlaku pada bila-bila masa dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Menurutnya, beliau kekal komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan perjuangan KeAdilan di semua peringkat terutama di negeri Sabah.