MoU STAR dan PBS bukan bersaing antara sesama sendiri – Jeffrey

BINGKOR: Kerjasama persefahaman antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan bersaingan sesama sendiri tetapi memikirkan masa depan rakyat di negeri ini.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, MoU ini adalah satu persefahaman untuk bekerjasama selepas menyedari kedua-dua parti mempunyai aspirasi yang sama.

Katanya, selepas ini tidak ada lagi perlawanan di antara satu dengan lain sekali gus dapat menguasai negeri Sabah sama seperti Sarawak sehingga dapat membuat perubahan dalam tempoh terdekat.

“Kita perlu perpaduan dan kesatuan kerana jika terus berlawan sesama sendiri, sudah tentu kita akan terus dipecah dan diperintah.

“Sudah tiba masanya untuk mempunyai kesatuan. Bukan antara PBS dan STAR sahaja, kalau boleh, seluruh parti-parti tempatan bersatu demi masa depan anak-anak dan cucu cicit,” katanya di sini hari ini.

Jeffrey berkata, susulan daripada MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Majlis Kepimpinan Bersama sebagai mekanisme untuk pembuatan dasar dan keputusan muktamad yang diputuskan pihak tertinggi.

“Semasa kita berpeluang, kita buatlah ini!. Sebab itu, kita bermula dengan kesatuan dan penggabungan di antara PBS dan STAR, dilihat satu peluang menyatupadukan pelbagai kaum berasaskan Kadazandusun Murut (KDM) di Sabah,” jelas Jeffrey.