KOTA KINABALU: UMNO Sabah yakin langkah diambil Kerajaan Pusat untuk bekerjasama dengan pembangkang dilihat mampu memudahkan proses pemulihan negara daripada kesan buruk COVID-19.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia berikutan kerjasama dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) itu dapat menstabilkan politik supaya usaha ditumpukan untuk pemulihan ekonomi dan membantu rakyat.
Beliau berkata, meskipun MoU itu hanya bersifat sementara, ia satu perkembangan positif yang sangat diperlukan ketika negara berdepan masalah kesihatan dan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19.
“Kerjasama itu juga tidak mengubah fungsi pembangkang kerana mereka kekal menjadi pembangkang di Dewan Rakyat, namun pandangan mereka akan diambil kira kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat.
“Perundingan itu dibuat atas kepentingan negara dan rakyat, tetapi selepas keseluruhan rakyat sudah menerima vaksinasi lengkap, kerajaan boleh mengadakan pilihan raya umum (PRU),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan Pusat dan pembangkang semalam dibuat selepas beberapa siri perbincangan di antara kedua-dua pihak sejak akhir bulan lalu.
Ia ditandatangani bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta semua ketua parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
MoU itu antara lain memperincikan transformasi utama Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Bung Moktar berkata, kerjasama itu bukan saja membawa kebaikan dari sudut politik, tetapi lebih penting manfaatnya diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara.
“Kerjasama ini sekurang-kurangnya membawa keamanan dalam negara dan menjernihkan seketika konflik politik, sekali gus memberi kerajaan ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap khidmat kepada rakyat.
“Kita tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepemimpinan yang kukuh, jadi kerjasama ini akan memberi peluang kerajaan bergerak lebih berkesan,” katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, pemeteraian MoU itu membentuk kerjasama dwi-partisan yang kukuh dan mantap sejajar semangat Keluarga Malaysia dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.