16 kes kematian di Sabah, 2,138 sembuh

KOTA KINABALU: Sebanyak 16 kes kematian dilaporkan semalam iaitu 10 kes di Kota Kinabalu, dua kes di Papar manakala Kota Marudu, Tawau, Telupid dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini.

“Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat,” jelasnya.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 2,138 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 150,386 orang.

“Manakala 4,483 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,614 orang di hospital, 2,787 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 85 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala sembilan orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 190 orang merangkumi 125 di ICU/repurposed kritikal care serta 65 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 70 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya.

Sabah merekodkan sebanyak 1,784 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 177,296 kes.