MOSTI Sabah, SKMM pantau projek pemasangan menara telekomunikasi di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sabah perlu memantau rapi pemasangan menara telekomunikasi di bawah fasa satu projek Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, JENDELA fasa dua akan dilancarkan tahun depan namun prestasi kontraktor masih kurang memberangsangkan.

Katanya, beliau memberi amaran, Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya tiada peningkatan dalam prestasi projek berkenaan.

“Saya mahu MOSTI Sabah bersama SKMM menjalankan pemantauan rapi termasuk mengambil tindakan sewajarnya jika prestasi projek kurang memberangsangkan.

“Kita tidak mahu projek ini gagal disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, perlu ada tindakan tegas diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerjanya ke MOSTI Sabah di Wisma Bandaraya di sini hari ini.

Pada lawatan kerja tersebut Hajiji diberikan taklimat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), hanya 217 daripada 382 menara atau 57 peratus di bawah JENDELA fasa satu, berjaya disiapkan di Sabah.

Daripada 217 menara berjaya disiapkan, hanya 63 peratus sahaja beroperasi sepenuhnya.

Hajiji berkata, MOSTI Negeri dan SKMM perlu menjalankan pemantauan secara berkala untuk  memastikan kerja-kerja ini dapat disiapkan mengikut jadual.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Hajiji turut diberikan taklimat oleh Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Hanafiah Mohd Kassim, mengenai usaha mengurangkan masalah pengangguran melalui latihan berasaskan penempatan pekerjaan.

Ini secara langsung menarik lebih ramai pelajar ke dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Saya mahu kementerian menumpukan kepada STEM selaras dengan tuntutan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

“Kita tidak mahu ketinggalan justeru kementerian perlu memainkan peranannya sebagai pendokong utama sains dan teknologi negeri,” kata Hajiji.