Lelaki maut kereta terbabas ke dalam parit

TUARAN : Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Kindu Tenghilang, Kampung Munsung, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, mangsa 39, beralamat di Kampung Serusup, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. 

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan jalan raya, pada jam 11.30 pagi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta lama terbabas sendiri sekali gus masuk ke dalam parit.

“Didapati seorang mangsa tersepit manakala pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Nor berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari,” jelas Mohammad Nor.