Belia dan beliawanis disaran berkebun tanaman keluarkan hasil jangka pendek – Dr Yusof

SIPITANG : Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin mengajak belia dan beliawanis di daerah Sipitang untuk aktif berkebun dan menanam tanaman yang dapat menghasilkan hasil dalam jangka masa pendek.

Katanya, tanaman yang dapat menghasilkan hasil dalam jangka masa pendek seperti sayur-sayuran dan herba.

Pada masa sama, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, ini dapat menggalakkan golongan muda mengamalkan gaya hidup yang lebih produktif dan mengurangkan kebergantungan pada pekerjaan yang memerlukan tempoh panjang untuk memperoleh hasil.

“Tanaman seperti cili, kangkung, sawi, atau herba seperti daun limau purut dan daun pandan dapat dituai dalam beberapa minggu, memberikan pulangan segera.

“Ini adalah cara yang sangat praktikal untuk membuang sifat malas dan menggantikannya dengan sikap rajin atau ‘bagas’ dalam bahasa Kedayan,” katanya ketika merasmikan
Karnival Belia 2024 di Kampung Bangsal, kelmarin.

Karnival itu anjuran bersama Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Sindumin,
Kelab Belia Kampung Bangsal, Kelab Belia Kampung Tanjung Nipis dan Pemaju Mukim Pantai.

Dr Yusof percaya dengan menggalakkan aktiviti berkebun dalam kalangan belia, mereka dapat memperoleh manfaat ekonomi serta memupuk nilai ketekunan dalam diri mereka.

Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Sindumin, Nurfasiha Masri berkata, karnival yang diadakan selama dua hari itu mendapat sambutan yang amat menggalakan oleh masyarakat setempat,

Menurutnya, karnival ini akan diteruskan ke zon yang telah dikenal pasti dalam masa terdekat untuk mrealisasikan saranan yang diutarakan oleh ADUN Sindumin (Dr Yusof) agar pergerakan sayap-sayap bahagian terus aktif dalam menyantuni masyarakat serta penduduk setempat.